
PARIT BUNTAR 11 Sept. - Seorang kanak-kanak dua tahun maut setelah abangnya yang berusia empat tahun secara curi-curi menghidupkan enjin kereta bapa mereka di pekarangan rumah sebelum kenderaan itu melanggar mangsa di Taman Kerian, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, Mohd. Adam Mohd. Ali, meninggal dunia di tempat kejadian setelah kepalanya dihimpit kereta jenis Toyota yang dihidupkan oleh abangnya, Aiman Yasin.
Bapa mangsa, Mohd. Ali Hussin, 53, berkata, dia baru menghantar isterinya berniaga dari Alor Pongsu dekat sini dan masuk sebentar ke dalam rumah untuk mengambil barang.
Menurutnya, belum sempat dia hendak keluar untuk menghantar seorang lagi anak perempuannya ke sekolah, dia terdengar bunyi bising di luar rumah dan melihat Aiman Yasin sedang bermain-main di tempat duduk pemandu dalam kenderaan berkenaan.
"Saya terkejut apabila mendapati dia cuba menghidupkan enjin dan cuba menahannya kerana adik bongsunya itu sedang memakai selipar di belakang kenderaan tersebut. Enjin kereta itu tiba-tiba hidup dan mengundur secara mengejut.
"Saya segera meluru keluar dan mendapati Mohd. Adam duduk melutut sambil memegang selipar sedangkan kepalanya dihimpit dengan belakang kereta dalam keadaan tidak bernyawa," katanya kepada pemberita.
Mohd. Ali berkata, dia langsung tidak menyangka kereta itu akan mengundur, justeru percaya, Aiman Yasin telah bermain dengan gear kenderaan secara tidak sengaja.
"Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana berlaku di depan mata ahli keluarga sendiri," katanya.
Ibu mangsa pula terlalu hiba dan dilihat tidak henti-henti menangis sambil memeluk jenazah anaknya di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
No comments:
Post a Comment